Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal [Al-Imran:190]

Sunday, July 15, 2012

aku hari ini

Bismillah..

Alhamdulillah sudah hampir sebulan aku kembali ke Malaysia tanah air tercinta. Ternyata kepulanganku banyak membuahkan soalan-soalan di kalangan orang di sekitar kerana tempoh hari ku katakan yang aku mahu terus berada di bumi Amerika itu untuk beberapa tahun lagi.

Namun kini aku pulang, dan mengubah perancangan aku itu. Kini aku sedang menjadi Research Assistant dan sedang memohon untuk menyambung pelajaran ke peringkat master di UiTM dalam bidang yg sama seperti diploma dan degreeku, kejuruteraan mekanikal. Macam tak percaya yang aku masih berada di institusi pendidikan setelah 8 tahun (sejak 2004) di sini. Aku sangkakan yg aku sudah serik. Tetapi inilah aku hari ini.

Kenapa? Persoalannya ialah kenapa aku memilih jalan ini.

Selepas menamatkan pelajaran di Purdue tempoh hari, aku merancang untuk bekerja sebagai seorang jurutera. Tentulah! Setelah bersusah payah berusaha untuk lulus dalam bidang ini. Namun lama kelamaan aku merasakan yang aku lebih cenderung untuk membangunkan dan bekerja untuk manusia berbanding mesin.

Seluruh hidup kita ini tujuannya ialah untuk mencari ketenangan, kebahagiaan, kegembiraan. Ianya berada di hati manusia. Hati yang tidak terdidik dengan hakikat kehidupan sebenar akan terus mencari yang bukan-bukan utk mencipta kebahagiaan ini. Lalu disitulah peranannya ahli-ahli sains yang tugasnya adalah untuk menyelesaikan masalah dan salah satu masalah yang utama manusia ialah kepuasan. Ada kereta, mahukan kereta yg lebih besar, lebih mahal barulah puas. Ada henpon mahukan yg lebih nipis, lebih bergaya lebih hebat barulah puas. Ada pakaian mahukan yg lebih berjenama lebih glamor barulah puas. Lalu orang sains saban hari bekerja keras mencipta membina untuk memuaskan nafsu manusia yang tidak akan pernah puas andai ianya tidak diisi dengan iman. Iman bahawasanya sungguh dunia ini hanyalah tempat persediaan utk ke akhirat.

Graduan university yang diserap masuk dalam arus membina teknologi hari ini sebenarnya ramai yang diperangkap oleh teknologi itu sendiri. Contoh: sudah dapat kerja di Kuala Lumpur dan untuk hidup di bandar besar seperti ini tentulah perlu ada kenderaan, tempat tinggal dll. Maka belilah mereka kereta standard harga RM50K secara hutang kerana tentu tidak ada simpanan sebanyak itu pada masa mereka grad. Mahu mencari rumah samada sewa atau beli juga dua2 perlukan kepada pembayaran bulanan. Rumah dan kereta sahaja sudah mampu mengikat pemuda hari ini untuk terus bekerja gigih, korbankan masa utk segala-galanya yang lain, kadang terpaksa melakukan sesuatu yg diluar prinsip hanya semata2 kerana hutang. Andai tidak bekerja, bagaimana untuk membayar hutang kereta selama 5 tahun ini? Hutang rumah selama 20 tahun ini? Hutang pelajaran dahulu juga kena bayar semula. (majority graduan berhutang ini, tahniah!) Dan belum cerita yang sudah terjebak dengan kad hutang.

Pemuda harapan ummah hari ini sudah tidak lagi mampu untuk memikirkan tentang ummah kerana beban mereka sendiri pun tidak temampu untuk tidak difikirkan. Apabila pemuda tidak berfungsi sebaiknya, bagaimanakah kepimpinan kita nanti? Pemuda tidak mempunyai masa utk mengenal dunia tentulah kelak akan menjadi pemimpin yang tidak matang dan jahil dalam memacu hala tuju ummat masa hadapan.

Oh, by the way kitaran ini sudah berlansung beberapa generasi, dan sekiranya tidak kita sedari dan ubah sekarang, tentunya penyakit ini akan terus menyerang generasi keturunan kita juga.

Lalu aku bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik di institusi pengajian tinggi Negara, dengan harapan mudah-mudahan aku dapat mengubah hati-hati yang tidak puas itu ke arah mendapatkan kepuasan yang lebih manis bersama islam. Untuk ini aku juga perlu menyediakan diri secukupnya kerana manusia yang tiada apa-apa, tidak dapat memberi apa-apa. Doakanku.

Itu salah satu sebabla. Tapi ada lagi satu sebab yang amat penting iaitu aku memikirkan bukan lagi hanya untuk diriku, tetapi untuk masa depan berdua, bertiga dan seterusnya.

Dulu perancangan aku utk menetap di bumi kelahiranku itu hanyalah perancangan aku sendiri. Tempoh hari aku bertanya kepada dia bagaimana perancangannya kehadapan. Katanya dia mesti berkhidmat untuk Malaysia untuk beberapa tahun atas janjinya kepada negara. Aku rasakan elok juga kalau aku turut bersama-sama berada di sini untuk menemani. Mudah-mudahan dia tahu yang aku ini boleh dibawa berbincang dan merancang itu bersama-sama, bukan hanya aku yang boleh bersuara ye. InsyaAllah bila diizinkan Allah pasti aku akan kembali semula ke tanah tumpah darahku itu utk berbakti di sana pula.

Mohon doa dari kalian semoga kita semua sentiasa tsabat dalam jalan mencari erti hidup, dalam jalan mencari kebahagiaan hakiki, dalam jalan bertemu Rabb yang dicintai dan dirindui. Biar apa pun pekerjaan kita, biar di tanah mana pun bumi ini di pijak, biar di langit mana pun kepala ini menjunjung, tetaplah hati ini, jiwa ini, hidup dan mati ini tidak lari dari tujuan hakiki, untuk Allah Rabbul Izzati.

1 comment:

  1. jzk khair atas perkongsian..teruskan usaha..semoga menjadi pendidik ummah...amin!

    ReplyDelete